Wong Chen gesa Willie Mongin mohon maaf


AHLI
Parlimen Subang, Wong Chen menafikan dakwaan Willie Mongin bahawa dia diarahkan akur dengan kehendak parti dalam perbicaraan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai dana GST.

"Willie menuduh bahawa saya mengarahkannya (dalam prosiding PAS mengenai kutipan GST bernilai RM19 bilion) dan 'membiarkan supaya DAP mengendalikannya'.

"Pertama, saya tidak pernah mengarahkan Willie untuk tidak menjalankan tugasnya sebagai anggota PAC. Sememangnya, saya tidak boleh dipersalahkan kerana sikap berdiam diri beliau dan prestasi yang tidak memuaskan sebagai anggota PAC.

“Saya masih ingat bahawa beliau selalunya berdiam dalam pendengaran PAC dan rekod awam bagi semua pendengaran PAC beliau adalah buktinya," kata Wong Chen dipetik Malaysiakini.

Willie Mongin merupakan wakil rakyat parti KEADILAN yang meninggalkan parti itu dan menyertai Perikatan Nasional. Beliau berada dalam kem Azmin Ali.

Dalam hantaran Facebook bertajuk Is RM19 billions GST money really stolen?(“Adakah wang GST bernilai RM19 bilion benar-benar dicuri?”), Willie mengatakan bahawa dirinya tidak gembira ketika berkhidmat sebagai ahli PAC.

Willie mendakwa tiada wang dirompak, sebaliknya digunakan untuk tujuan kerajaan dan direkodkan dengan betul.

bekas Perdana menteri Najib Razak yang kini dituduh dengan beberapa kes di Mahkamah berkongsi hantara Willie dan mengatakan bahawa ia merupakan contoh bagaimana Pakatan Harapan (HARAPAN) membuat tuduhan palsu terhadapnya.

Sementara itu, Wong Chen menegaskan semasa Willie bersama kem Azmin, mengapa seseorang yang merupakan penyokong tegar bekas Timbalan presiden itu perlu mendengar arahan daripadanya.

"Ketiga, kedudukan saya dalam perbicaraan GST bernilai RM19 bilion telah secara rasmi direkodkan dalam hansard. Saya boleh katakan bahawa saya merupakan anggota PAC yang paling lantang dalam perbicaraan ini," katanya.

Wong menambah bahawa tuduhan yang mengatakan dia mengarahkan Willie untuk berdiam diri tidak selari dengan pandangannya yang lantang yang juga direkodkan.

"Saya mengharapkan Willie menarik semula komennya mengenai saya di hantaran Facebook beliau secara terbuka dan memohon maaf kepada saya," katanya.