KAJIAN dilakukan Pusat Kebangsaan Penyakit Berjangkit (NCID) Singapura bersama Akademik Perubatan Singapura mendapati, pesakit Covid19 yang telah dijangkiti virus itu untuk tempoh melebihi 11 hari, tidak berisiko untuk menjangkiti individu lain.
Hasil kajian itu didedahkan The Japan Times News yang memetik pakar penyakit berjangkit Singapura.
Dalam laporannya, The Japan Times News mendakwa dapatan itu hasil kajian itu dilakukan berdasarkan pada 73 corak jangkitan di ibu kota berkenaan.
Pakar tersebut menjelaskan, seseorang pesakit itu boleh diuji positif Covid-19 namun virus itu tidak akan berjangkit daripada pesakit yang melebihi 11 hari.
Penemuan terbaharu itu kemungkinan memberi kesan kepada kumulatif kes discaj di republik itu.
Meskipun begitu, sehingga kini hanya mereka yang disahkan negatif melalui ujian pengesahan sahaja yang dibenarkan discaj dari hospital dan bukannya berdasarkan keberjangkitan virus.
Setakat kini, 14,876 individu daripada seluruhan 31,616 pesakit Covid-19 disahkan di Singapura telah dibenarkan keluar dari hospital.
Sementara 23 dilapor meninggal.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan republik itu turut dilapor sedang giat melakukan saringan ke atas kakitangan prasekolah sebagai persiapan untuk membuka semula sekolah berkenaan secara berperingkat mulai 2 Jun ini.
Saringan itu susulan dua kakitangan prasekolah disahkan positif pada Jumaat lalu yang menjadikan jumlah kumulatif kakitangan prasekolah yang dijangkiti virus tersebut meningkat kepada tujuh orang.
Menurut kementerian Kesihatan (MOH) Singapura, jumlah kes baharu dalam komuniti meningkat kepada purata tujuh kes sehari pada minggu lepas berbanding lima kes sehari bagi minggu sebelumnya.
0 Comments