Surat Dr Noor Hisham curi perhatian


KETUA
Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah telah mencuri perhatian rakyat malaysia lagi apabila menjadi individu penting menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Hari ini kisah Dr Noor Hisham menjadi tumpuan lagi gara-gara sepucuk surat yang dikirimkan kepada seorang rakan barunya, kanak-kanak berusia 9 tahun yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Budiman, Kuala Terengganu.

Surat kiriman Lara Khadijah
Kanak-kanak tersebut, Lara Khadijah Mcafee sebelum ini mencuri perhatian selepas surat kirimannya yang mendedikasi penghargaan terhadap kerja keras dan pengorbanan Dr Noor Hisham dan petugas barisan hadapan tular di media sosial.

Bersama surat tersebut turut disertakan ialah seutas gelang persahabatan 'loom band'.

“Saya membuat loom band untuk rakan-rakan saya sebagai tanda persahabatan.

“Saya telah membuat seutas loom band untuk anda sebagai tanda terima kasih atas segala kerja keras yang anda lakukan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia sepanjang wabak COVID-19 ini,” kata murid darjah tiga itu dalam surat tersebut.

Hampir sebulan selepas kiriman itu, kini Lara Khadijah mendapat surat balasan dari Dr Noor Hisham.

Selain berterima kasih kepada anak kecil tersebut, Dr Noor Hisham yang terkenal dengan sikap rendah diri itu berkata, usaha yang dilakukan sepanjang perang membendung wabak COVID-19 merupakan usaha bersama seluruh rakyat Malaysia.

Malah Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa gelang persahabatan itu kini dipakai oleh cucunya.

Kiriman balas Dr Noor Hisham
“Terima kasih kerana menulis surat dan menghasilkan rantai tangan ini. Cucu perempuan saya memakai rantai tangan itu dan dia sangat suka padanya,” balas Dr Noor Hisham.

Melalui surat tersebut juga, Dr Noor Hisham menitipkan nasihat kepada Lara Khadijah supaya belajar bersungguh-sungguh.

Jelasnya, suatu masa nanti akan tiba giliran Khadijah untuk menabur berbakti untuk negara.

“Suatu hari nanti, akan tiba giliran anda untuk membantu Malaysia. Ikut impian anda dan berusaha bersungguh-sungguh,” tambahnya.

Apa yang menarik perhatian warganet adalah apabila Dr Noor Hisham, yang dianggap sebagai antara tiga individu terbaik menangani wabak koronavirus itu merujuk dirinya sebagai 'your new friend' ataupun 'kawan baharu anda' kepada Lara Khadijah bagi mengakhiri suratnya. 

Post a Comment

0 Comments