PENANGGUHAN Sukan Olimpik Tokyo 2020 merupakan peluang terbaik untuk memperbaiki kelemahan yang ada, kata jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang.
Anak jati Dungun, Terengganu ini yang kini berada di Melbourne, Australia yang dipetik Bernama mendedahkan, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan jurulatihnya John Beasley berhubung program latihan di rumah, bagi memastikan dirinya kekal cergas sebelum menghadapi Sukan Olimpik 2020 pada tahun depan.
"Buat masa ini, saya dan jurulatih (John Beasley) serta pasukan akan merangka pelan perancangan baru, untuk persiapan Sukan Olimpik pada tahun hadapan.
"Yang pasti adalah, latihan kami akan tetap diteruskan seperti biasa, dan tiada istilah 'berbulan madu' walaupun kita semua dalam perintah berkurung sekarang," jelasnya.
Juara dunia keirin 2017 itu berkata begitu sebagai mengulas keputusan Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 pada Selasa untuk menangguhkan Sukan Olimpik 2020 dan Sukan Paralimpik 202 susulan pendemik koronavirus (covid-19) yang sedang melanda dunia.
Sukan Olimpik 2020 sepatutnya berlangsung dari 24 Julai hingga 9 Ogos, manakala Sukan Paralimpik 2020 bakal bermula 25 Ogos hingga 6 Sept ini.
Ia merupakan penangguhan pertama Sukan Olimpik dalam sejarah 124 tahun penganjurannya, tetapi ia pernah dibatalkan semasa meletusnya Perang Dunia pada tahun 1916, 1940 dan 1944.
Sementara itu Azizulhasni yang lebih mesra dengan panggilan 'Jijoe' berkata, beliau menghadkan aktiviti senaman di rumah ketika ini, memandangkan kerajaan Australia mengarahkan penutupan semua kompleks sukan dan beberapa pusat membeli belah, bagi mengekang penularan pendemik itu.
0 Comments