Tun M beri penjelasan, tolak kerjasama dengan Umno


PERDANA menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan kenyataan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini yang mendakwa bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kecewa dengan percubaan menjalin kerjasama dengan Umno sebagai alasan perletakan jawatannya.

Dr Mahathir dalam sidang media pertamanya sebagai perdana menteri interim berkata, beliau tidak boleh terima Umno sebagai sebuah parti dalam kerajaan.

"Saya sanggup terima ahli Umno yang keluar Umno dan menyertai parti lain. Tetapi Umno akan sertai kerajaan campuran ini sebagai Parti Umno.

"Ini tidak dapat diterima oleh saya. Maka terpaksalah saya letak jawatan," katanya pada kemunculan di televisyen pada jam 4.45 petang.

Nampak sedikit letih, Dr Mahathir turut berkata tuduhan bahawa beliau tidak berniat untuk melepas jawatan seperti dijanjikan dan gila kuasa juga adalah tidak benar.

"Maka saya letak jawatan kerana saya tidak melihat kuasa dan jawatan itu sebagai “be all and end all” adalah matlamat saya.

"Bagi saya kuasa dan kedudukan itu adalah “a means to an end” ataupun satu alat untuk mencapai objektif. Dan objektif kita semua tentulah untuk kebaikan negara.

"Kerana itu saya meletak jawatan kerana bagi saya ternampak bahawa bagi orang politik yang terpenting ialah parti mana yang memerintah, sama ada yang kalah atau yang menang," tegasnya.

Terdahulu, mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN pada Jumaat lalu bersetuju sebulat suara memberi ruang untuk Dr Mahathir memimpin negara, bagaimanapun sehari selepas itu berlaku beberapa pertemuan antara parti politik yang didakwa membincangkan peluang pembentukan kerajaan baharu.

Presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin selepas itu mengumumkan BERSATU meninggalkan HARAPAN, Dr Mahathir selepas itu mengumumkan meletak jawatan perdana menteri dan Pengerusi BERSATU.

Anwar Pada Ahad bertemu Dr Mahathir dan berkata berpuas hati dengan penjelasan Dr Mahathir, menurut Anwar keputusan dibuat Dr Mahathir itu berlandaskan prinsip dan pendiriannya.

Post a Comment

0 Comments