SUSPEK mencederakan seorang bilal Masjid Al Hasanah, Alor Setar awal pagi semalam berjaya ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, suspek berusia sekitar 40-an itu ditahan di sebuah flat kira-kira jam 1.30 petang semalam.
Jelasnya, hasil siasatan mendapati suspek dipercayai di bawah pengaruh dadah dan mengalami masalah mental.
“Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methaphetamine.
"Soal siasat mendapati suspek mendakwa tidak suka dengan jemaah masjid kerana pernah memohon untuk mendapatkan bantuan, tetapi ditolak.
"Polis turut merampas sebuah motosikal, minyak petrol dan pakaian yang digunakan dalam kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kejadian awal pagi tadi, mangsa, Amri Budin, 65, melecur di beberapa bahagian badan selepas disimbah minyak sebelum dibakar individu tidak dikenali.
Mangsa yang melecur kira-kira 25 peratus masih dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Sementara itu, semakan mendapati suspek memiliki rekod kesalahan lampau iaitu satu kes dadah dan satu kes jenayah.
Suspek juga dipercayai terbabit dalam perbuatan khianat membakar peralatan masjid di kawasan Kota Setar pada Disember tahun lepas.
Susulan itu tambah Mohd Rozi, pihaknya kini sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
0 Comments