Sabah tenggelamkan kapal nelayan asing


KERAJAAN
negeri Sabah menenggelamkan sebuah kapal nelayan asing yang dirampas sejak 2018 di perairan Tompok Nosong, Kuala Penyu semalam.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong yang dipetik Sabahpost berkata, aktiviti pelupusan kapal nelayan asing itu bertujuan untuk memberi amaran kepada nelayan asing agar tidak menceroboh dan mencuri  sumber perikanan di negeri ini.

Selain memberi amaran, pelupusan itu juga bertujuan menggalakkan semula biodiversiti marin, dengan menjadikan kapal yang ditenggelamkan itu sebagai tukun tiruan.

“Kita mahu hantar mesej yang jelas kepada semua kapal-kapal dari luar khususnya Vietnam bahawa kita memandang serius hal ini.

“Mana-mana kapal asing yang masuk di perairan di negeri ini, kita akan tangkap dan akan tenggelamkan kapal mereka serta tidak akan memberi peluang,”katanya selepas menyaksikan proses pelupusan kapal tersebut.

Tambahnya, kehadiran kapal-kapal asing di negeri ini juga menjejaskan mata pencarian nelayan tempatan, justeru menyumbang kepada kenaikan harga hasil laut khususnya menjelang musim perayaan

Junz berkata, sejak pelaksanaan polisi baharu iaitu aktiviti pelupusan kapal nelayan asing tersebut, harga ikan kekal seperti biasa dan stabil.

Mengulas lanjut, beliau berkata, lesen nelayan laut dalam tidak lagi diluluskan tanpa persetujuan negeri Sabah.

Katanya, lesen tersebut harus dikembalikan kepada Sabah agar tangkapan hasil laut dapat dinikmati sepenuhnya oleh nelayan tradisional di negeri ini.

Post a Comment

0 Comments