KERAJAAN dijangka membawa pulang seramai 132 orang rakyat Malaysia serta keluarga mereka yang berada di Wuhan, China hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata mereka yang terperangkap di negara itu susulan penularan wabak koronavirus akan dibawa pulang melalui misi kemanusiaan dengan penerbangan khas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe.
Bagaimanapun jelasnya, hanya mereka yang telah menjalani tapisan kesihatan dan didapati sihat akan dibawa pulang.
“Misi ini akan disertai lapan orang iaitu enam pegawai daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seorang pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan seorang pegawai Kementerian Luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pesawat AirAsia dengan 12 krew akan digunakan bagi misi membawa pulang rakyat Malaysia dan keluarga mereka itu.
“AirAsia menetapkan tarikh penerbangan pada 3 Feb 2020 tertakluk kepada kelulusan kerajaan China. Penerbangan ini juga akan membawa bantuan keperluan seperti ‘mask’ (topeng hidung dan mulut), sarung tangan dan makanan, yang tertakluk kepada senarai yang dipersetujui oleh pihak Kerajaan China,” katanya.
Difahamkan, Dr Wan Azizah telah bertemu dengan semua pegawai yang akan menyertai misi itu termasuk krew penerbangan untuk menyampaikan rasa penghargaan atas pengorbanan mereka membantu membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan.
“Saya juga menasihati mereka agar menjaga kebajikan dan kesihatan mereka dan semua yang dibawa pulang,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.
Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, semua penumpang, pasukan misi dan krew akan menjalani tapisan kesihatan sekali lagi sebaik sahaja tiba ke KLIA kelak.
Bagi mereka dikesan mempunyai simptom akan dibawa ke hospital manakala yang melepasi saringan terus ke Pusat Pemantauan.
0 Comments