ISTERI bekas Perdana Menteri, Rosmah Manor bakal menghadiri perbicaraan hari pertama berhubung skandal projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak hari ini.
Kes membabitkan Rosmah, 69. itu bakal didengar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan jam 2 petang ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Rosmah menghadapi tiga pertuduhan membabitkan ratusan juta ringgit dalam projek itu.
Bernama dalam laporannya berkata, pihak pendakwaan dijangka akan memanggil 25 saksi, dua daripadanya dijangka memberi keterangan pada Isnin selepas pihak pendakwaan membacakan kenyataan pembukaan.
Bagi pertuduhan pertama, Rosmah didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khas Najib dikenali sebagai Rizal Mansor, iaitu 15 peratus daripada nilai kontrak daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.
Perbuatan itu sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit dekat sini, di antara Mac dengan April 2016.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, pada 7 Sept 2017.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi melalui Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek yang sama di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta.
Semua kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Rosmah juga menghadapi 12 pertuduhan untuk pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Menjadikan kesemua pertuduhan yang dihadapi Rosmah adalah 20.
0 Comments