Pulang kampung, pencipta lagu tiba-tiba jatuh sakit


PENCIPTA lagu ‘Cinta Pantai Merdeka’, Pak Long atau nama sebenarnya Shafie Ahmad, 54, dilapor sedang menerima rawatan di sebuah hospital.

Anaknya, Nur Muhammad Idhoffy, 18, berkata Pak Long kini dirawat di Hospital Sik, kedah sejak 25 hari lalu selepas demam panas dihadapinya tidak kebah.

Tidak mempunyai sejarah penyakit kronik sebelum ini kecuali mengidap kencing manis yang masih terkawal, Pak Long difahamkan jatuh sakit sebaik berpindah ke kampung.

“Sebaik sahaja berpindah ke Sik pada awal Januari, abah terus demam. Kami berpindah ke sini kerana abah mahu mencari ilham untuk mencipta lagu dalam suasana kampung," jelas
Idhoffy.
 
Selain lagu Cinta Pantai Merdeka, Pak Long turut mencipta lagu ‘Al Jannah’ nyanyian Mawi, beliau terkenal dengan lagu hit ‘Selagi Ada Rindu’.

Menurut Idhoffy lagi, sehingga kini belum ada  alasan jelas mengapa kesihatan bapanya merosot. Mereka turut merancang mendapatkan rawatan secara Islam.

"Pelbagai ujian darah sudah dilakukan namun masih tidak menemui penyakit sebenar abah.

“Minggu depan abah akan jalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), jika masih tiada sebarang penyakit ditemui, kami akan ikhtiar untuk menjalani perubatan Islam pula,” kata anak kelima daripada tujuh beradik itu.

Sementara itu, Idhoffy turut meluahkan rasa kecewanya apabila terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab membuat berita palsu bahawa bapanya sudah meninggal dunia.

“Saya sekeluarga harap semua peminat dan rakan seperjuangan abah dapat mendoakannya kembali sembuh supaya dapat meneruskan perjuangannya,” katanya menurut laporan itu.

Post a Comment

0 Comments