Koronavirus mungkin akan terus wujud bersama manusia


AKADEMI Sains Perubatan China memberi amaran dunia harus bersedia dengan kemungkinan bahawa koronavirus (Covid-19) akan berlanjutan untuk satu tempoh yang panjang.

Presiden Akademi itu, Wang Cheng memberi amaran itu meskipun China mencatatkan penurunan kes baharu.

Tegasnya, walaupun Covid-19 berbeza dengan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) namun kedua-duanya mudah berjangkit dan membawa maut.

“Virus baharu ini mungkin menjadi penyakit jangka masa panjang yang wujud bersama manusia, sama seperti selesema.

"Bagaimanapun, ia terpulang kepada saintis untuk bersedia mengkaji Covid-19 dan membantu merangka strategi klinikal melalui penyelidikan saintifik,” katanya kepada agensi berita CCTV.

Sementara itu, menurut pembantu profesor bahagian kesihatan dan ekonomi di Yale School of Public Health, Chen Xi, sekarang mungkin masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa jangkitan telah memuncak.

“Langkah menutup kejiranan baru dilaksanakan namun keberkesanannya tetap dapat dilihat.

“Walaupun kes baharu dan disyaki di China turun, namun peningkatan kes baharu lain tetap bertambah. Dalam erti kata lain, permintaan untuk sumber perubatan kekal tinggi dan kita masih berada di peringkat kritikal dalam menentang penyakit ini,” katanya dipetik.

Sehingga hari ini, wabak tersebut yang dikesan sejak akhir Disember lalu telah meragut 2,233 nyawa, sementara lebih 75 ribu orang dijangkiti virus tersebut.

Bagaimanapun, bilangan pesakit koronavirus berjaya pulih mengatasi jumlah kes baru.

Agensi berita Xinhua yang memetik Suruhanjaya Kesihatan Negara  pada Selasa berkata, seramai 1,824 orang dibenarkan keluar hospital, lebih tinggi berbanding jumlah yang dijangkiti iaitu 1,749.

Post a Comment

0 Comments