Atlet remaja cedera tertusuk anak panah


SEORANG
atlet memanah sekolah yang pernah mewakili negeri Kedah cedera tertusuk anak panah.


Memetik laporan oleh Sinar, anak panah itu tertusuk bahagian mata kiri atlet berusia 16 tahun itu ketika dia dan beberapa rakan lain menjalani latihan di sebuah sekolah.

Atlet tersebut sedang persiapan mewakili Daerah Kuala Muda untuk bertanding di peringkat negeri dalam acara memanah pada 19 Februari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, saksi memaklumkan bahawa mangsa secara tiba-tiba melintas di hadapan pelajar lain yang sedang menjalani latihan sebelum sasaran terlepas secara tidak sengaja dan mengenai bahagian mata kiri pelajar Tingkatan Empat itu.

"Ketika kejadian, atlet terbabit sedang membuat latihan pemanahan badan pada target lima meter manakala mangsa dan dua rakan lagi berlatih memanah di sasaran 70 meter.

"Ketika atlet itu memegang pemanah secara tiba-tiba mangsa melintas di hadapannya, dalam usaha menurunkan pemanah, anak panah terlepas dan menuju ke arah kepala dan mengenai pada mata kiri mangsa menyebabkannya tembus sehingga ke telinga," katanya.

Susulan kejadian itu kata Adzli, mangsa  telah dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim dan pembedahan berjaya mengeluarkan anak panah tersebut.

"Doktor mengesahkan anak panah mengenai bahagian saraf sebelah mata kiri dan mangsa kini dalam keadaan stabil,"katanya.