FOTIMA MIRZOKULOVA, wanita dipercayai tertua di dunia meninggal dunia di Tajikistan, pada usianya 126 tahun, lapor Daily Mail.
Berdasarkan maklumat dalam pasport, wanita itu dilahirkan pada 13 Mac 1893 di Tsarist Russia dan dikatakan antara wanita terakhir dilahirkan pada abad ke-19.
Mirzokulova meninggalkan lapan anak dan lebih 200 cucu dan cicit, hidup pada zaman era Soviet Union, sebelum Tajikistan mencapai kemerdekaan pada 1991.
Sebelum ini, wanita tertua Jeanne Louise Calment yang dilahirkan pada Februari 1875 dari Perancis meninggal dunia pada usianya 122 pada Ogos 1997.
Wanita itu dikebumikan Sabtu lalu di bandar Dakhana utara Tajikistan berdekatan sempadan Uzbekistan.
Dengan kematian Fotima, wanita tertua yang direkodkan masih hidup hari ini ialah Kane Tanaka dari Jepun dengan usia 117 tahun.
Sementara itu, lelaki tertua dunia Masazo Nonaka yang direkodkan Guinness World Records pada April 2018 Nonaka dilaporkan meninggal dunia dalam tidur di rumahnya di Ashoro, kepulauan Hokkaido, utara Jepun pada Januari tahun lalu pada usianya 113 tahun
0 Comments