SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun maut dipercayai ditikam bapa saudaranya sendiri.
Dalam kejadian di Felda Cerul 2 dekat Kemaman semalam, Nur Hafiya Aufa Mohd Taquddin, 2, ditikam di bahagian dada ketika mangsa sedang bermain di dalam rumah kira-kira pada pukul 1 tengah hari.
Insiden kejam itu disahkan Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan seperti dilapor Bernama.
"Mangsa kemudiannya telah dibawa ke Klinik Kesihatan Cheneh sebelum disahkan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Nur Hafiya merupakan anak bongsu daripada dua beradik dan dikatakan tinggal bersama datuk dan neneknya di rumah yang sama dengan suspek.
Sementara itu menurut Hanyan, suspek berjaya ditangkap beberapa jiran berdekatan rumah mereka pada pukul 1.30 tengah hari dan kemudianya diserahkan kepada polis.
Suspek dipercayai terdorong melakukan pembunuhan tersebut kerana pengaruh dadah.
"Suspek sebelum ini pernah mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
"Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, pihak polis tidak menolak kemungkinan ketika kejadian suspek berada di bawah pengaruh dadah," katanya.
Susulan kejadian itu, pihak polis kini membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
0 Comments