Pesawat misteri terhempas dalam wilayah Taliban


SEBUAH
pesawat dilapor terhempas di wilayah Ghazni dikawal kumpulan Taliban di Afghanistan pada Isnin.

Bagaimanapun menurut jurucakap Gabenor Ghazni, Aref Noori, pihaknya tidak pasti apakah pesawat tersebut milik komersial atau tentera.

Butiran mengenai jenis pesawat dan jumlah penumpang dalam kejadian itu juga tidak diperolehi.

"Nahas itu berlaku pada jam 1 tengah hari (waktu tempatan) di daerah Deh Yak. Pesawat itu turut terbakar dan penduduk kampung cuba untuk mengawal kebakaran tersebut. Kami masih tidak tahu ia adalah pesawat tentera atau komersial," kata Aref Noori. 

Di media sosial, banyak pihak mendakwa pesawat terbabit adalah milik Ariana Afghan Airlines.

Syarikat penerbangan itu bagaimanapun menafikan khabar angin tersebut dan mengesahkan kesemua penerbangan mereka tidak menghadapi sebarang masalah.

Pihak berkuasa penerbangan awam Afghanistan dalam satu kenyataan menafikan laporan jet tersebut adalah sebuah pesawat komersial.

"Berdasarkan maklumat diperoleh daripada Pihak Berkuasa Pengawal selia Lalu Lintas dan Menara Kawalan, tiada nahas melibatkan pesawat komersial direkodkan malah Ariana Afghan Airlines juga mengesahkan perkara tersebut," ujarnya seperti dilapor AFP.

Post a Comment

0 Comments