PESAWAH di beberapa negeri di semenanjung yang menanggung kerugian akibat serangan makhluk perosak padi pada Disember lalu akan menerima pampasan dalam bentuk bantuan khas.
Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Azulita Salim berkata, bantuan khas itu akan disalurkan menerusi Bencana Agromakanan memperuntukkan RM875 per hektar bagi kerugian di bawah 70 hari dan RM1,800 untuk kerugian melebihi 70 hari.
"Bencana alam seperti ribut, banjir, kemarau dan serangan penyakit dikategorikan sebagai bencana agro makanan dan kita akan memberi bantuan mengikut taksiran kerugian yang dibuat.
"Bayaran akan ambil masa tiga atau empat bulan memandangkan ia masih dalam peringkat taksiran oleh Jabatan Pertanian," katanya dipetik Sinar.
Beliau sebelumnya hadir ke satu program di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng Semalam.
Menurutnya, laporan taksiran bersama senarai nama pesawah terlibat itu kemudiannya akan diserahkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk kelulusan peruntukan sebelum disalurkan kepada LPP untuk agihan bantuan.
"Kita cuba untuk lakukannya (agihan pampasan) lebih cepat dan kerajaan sendiri sebenarnya prihatin terhadap masalah yang berlaku," katanya lagi.
Disember lalu, kebanyakan petani di Perak ini, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis merayu bantuan kerajaan kerana terpaksa menanggung kerugian teruk selepas sawah padi diusahakan diserang makhluk perosak dikenali sebagai ulat pengorek batang padi (chilo suppressalis).
Serangan makluk perosak itu menyebabkan petani mengalami kerugian berikutan hasil yang diperoleh sangat minimum malah, ada yang terpaksa menanggung hutang.
0 Comments