PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan darurat kesihatan awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan koronavirus.
Pengisytiharan itu dibuat dalam sidang media mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Kecemasan yang berlangsung di Geneva, hari ini.
Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesu memuji tindak balas China, tetapi berkata, WHO bimbang virus merebak ke negara yang lemah dan tidak bersedia menghadapinya.
"Sebab utama pengisytiharan ini bukan kerana situasi di China, tetapi kerana negara lain.
"Terdapat 98 kes di 18 negara di luar China, termasuk lapan kes jangkitan manusia ke manusia di empat negara iaitu Jerman, Jepun, Vietnam dan Amerika Syarikat (AS),” katanya dalam video yang dikongsi menerusi Twitter rasmi WHO.
Berdasarkan data terkini, terdapat 7,834 kes koronavirus (2019-nCoV) yang disahkan termasuk 7,736 jangkitan di China. 213 orang dilaporkan telah maut.
Hubei, wilayah yang menjadi pusat wabak itu, melaporkan 42 kematian tambahan menurut kenyataan terbaru dari Suruhanjaya Kesihatan Wilayah Hubei. Ia melaporkan 1,220 kes baru yang disahkan dalam tempoh 24 jam.
“Setakat ini tiada kematian dilaporkan di luar China dan kita semua perlu bersyukur. Walaupun jumlah itu masih kecil berbanding jumlah kes di China, kita semua perlu bekerjasama untuk mengehadkan penularan penyakit itu,” katanya.
Novel koronavirus mula dikesan pada Disember di Wuhan, China yang menyebabkan radang paru-paru dan gejala lain seperti demam, batuk dan kesukaran bernafas. Setakat semalam, Malaysia mempunyai lapan kes jangkitan yang disahkan.
0 Comments