SEORANG remaja yang juga pemandu jengkaut maut selepas tertimbus tanah bersama jenteranya.
Kejadian berlaku di Kampung Pulai Baru,Kuala Nerus kira-kira jam 5.30 petang semalam ketika Muhamad Amiruddin Abdul Ghani, 21, sedang melakukan kerja memecahkan tanah di Bukit Berangan.
Kejadian itu disedari rakan sekerja mangsa yang berada berhampiran lokasi kejadian sebelum menghubungi pihak bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Yusmizan Yusof berkata sejurus menerima panggilan tujuh anggota penyelamat dikejarkan ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera .
Ketika tiba ditempat kejadian, Yusmizan berkata, pihaknya mengesan seorang lelaki telah tertimbus dengan tanah bersama jangkaut.
“Mangsa yang tertimbus sedalam dua meter berjaya dikeluarkan dengan menggunakan sebuah jengkaut pada jam 6.10 petang.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian,” katanya di sini, hari ini.
Susulan itu jelasnya, kerja-kerja mengeluarkan mangsa mengambil masa kira-kira 20 minit dengan bantuan sebuah jengkaut lain.
Mangsa yang disahkan meninggal oleh pegawai perubatan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.