Pulau Pinang catat penurunan kes denggi


KES Denggi di Pulau Pinang mencatatkan penurunan 28.91 peratus bagi kes denggi yang dilaporkan dari awal tahun sehingga 14 Dislalu.

Bahagian Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan Pulau Pinang dalam satu kenyataan menyatakan sepanjang tempoh tersebut sebanyak 4,061 kes berbanding 5,713 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Jumlah kematian diakibatkan denggi juga berkurangan kepada sembilan, berbanding 13 kematian dalam tempoh sama tahun lepas.

Kenyataan itu turut menyatakan pada ketika ini terdapat tujuh lokaliti wabak terkawal di Timur Laut, iaitu di Vista Condo, Taman Teguh, Lucky Garden, Halaman Kenanga, Jalan Chee Seng 1-10 dan Desa Golf dan daerah Seberang Perai Tengah (SPT), iaitu lokaliti Apartment Permata Zon A.

Selain itu, terdapat dua lokaliti wabak tak terkawal, iaitu daerah Timur Laut di Greenlane Height Blok dan daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di Perkampungan Valdor B.

Oang ramai turut dinasihatkan untuk melakukan gotong-royong di kawasan perumahan masing-masing, bagi menghapuskan tempat berpotensi pembiakan nyamuk aedes, bagi menghentikan penularan penyakit denggi.

“Orang ramai juga boleh mendapatkan ubat pembunuh jentik-jentik nyamuk daripada klinik-klinik kesihatan kerajaan, untuk diletakkan di tempat yang terdapat takungan air.

"Orang ramai juga disaran menggunakan penghalau nyamuk atau memakai baju dan seluar panjang semasa menjalankan aktiviti luar, melakukan semburan aerosol di dalam rumah dan memasang skrin pada tingkap bagi mengurangkan risiko gigitan nyamuk," menurut kenyataan itu lagi.

Post a Comment

0 Comments