Politikkan isu agihan ASB tindakan jahil - Nik Nazmi


TINDAKAN pihak tertentu cuba mempolitikkan isu berkaitan agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi 2019 yang diumumkan Permodalan Nasional berhad (PNB) minggu lalu disifatkan sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.

Ketua Setiausaha Pengelola Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan itu jelas berniat jahat dan jahil, tambah lagi apabila mereka cuba menyalahkan kerajaan.

Bagaimanapun katanya, pihak itu mengabaikan hakikat bahawa ekonomi global menghadapi rintangan ketara tahun ini dan mereka seolah-olah cuba menafikan pelbagai inisiatif juga diambil PNB untuk meningkatkan tadbir urus korporat syarikat itu.

"Sebarang pergerakan besar oleh PNB akan memberi impak besar kepada pasaran saham Malaysia dan ASB juga bukanlah satu dana ajaib yang beroperasi dalam vakum.

"Oleh itu, pendapatan 5.5 peratus, walaupun mungkin mengecewakan sesetengah pihak, masih merupakan pencapaian besar oleh PNB," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Pengerusi PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz menerusi anak syarikatnya, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan 5.00 sen seunit dan bonus 0.50 sen untuk dana utamanya ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember ini.

Difahamkan, aset Di Bawah Pengurusan (AUM) PNB juga melebihi RM300 bilion dengan kira-kira 90 peratus dilaburkan di dalam Malaysia.

Sementara itu menurut Nik Nazmi, tindakan menjadikan rakyat ketagih kepada dividen yang tidak lestari juga adalah tidak bertanggungjawab


"Sama ada kita suka atau tidak, sebagai ekonomi terbuka, Malaysia termasuk dalam ekonomi global dan kita tidak akan mampu sepenuhnya melindungi diri daripada arusnya," katanya lagi.


Post a Comment

0 Comments