INDIVIDU yang disabitkan bersalah membunuh wanita warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu, membuat dakwaan mengejutkan dari Penjara Kajang.
Azilah Hadri, yang sedang menunggu pelaksanaan hukuman gantung itu mendedahkan arahan untuk membunuh model Mongolia Altantuya Shaaribu datang dari Najib Razak dan kenalan rapatnya Abdul Razak Baginda.
Dalam pengakuan julung-julung kalinya yang dimasukkan dalam akuan berkanun (SD) dibuatnya itu, Azilah mendakwa dia dan pegawai polis Sirul Azhar Umar hanya mengikuti arahan “shoot to kill” (tembak mati) sebagai anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis.
Beliau sebelum ini memohon kepada Mahkamah Persekutuan bagi menyemak semula keputusan bersalah dan hukuman mati terhadapnya dan pengurusan kes ditetapkan pada esok hari.
Dalam akuan berkanun (SD) bagi menyokong permohonannya, Azilah mendakwa Najib mengarahkannya “tangkap dan hapuskan” Altantuya, yang menurutnya, diberitahu sebagai “perisik asing” dan “berbahaya kepada keselamatan negara”.
“Saya bertanya kepada TPM apa yang dimaksudkan dengan tangkap dan hapuskan perisik asing tersebut dan TPM menjawab, ‘Shoot to kill,’ sambil menunjukkan isyarat memotong leher,” SD itu dipetik.
“Apabila ditanya berkenaan maksud musnahkan mayat perisik asing tersebut, TPM menjawab, ‘Lupuskan mayat perisik asing hilangkan kesan.’” katanya menurut SD itu yang dipetik laporan media.
BACA: Teks penuh Akuan Bersumpah Azilah Hadri
Sebagai rekod, ketika insiden pembunuhan itu, Najib merupakan Timbalan Perdana Menteri.
Azilah juga mendakwa Najib memberitahu supaya “berhati-hati dengan perempuan perisik asing tersebut kerana beliau pandai berkata-kata dan penuh tipu helah — salah satunya adalah bahawa beliau sedang mengandung.”
Azilah memohon perbicaraan semula bagi mengemukakan bukti penuh berkaitan operasi sulit itu di mahkamah terbuka supaya “keadilan dapat ditegakkan”. Beliau mendakwa terdapat keterangan tidak dikemukakan semasa prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Bekas polis itu juga memohon maaf atas penglibatannya dalam operasi itu yang “meragut nyawa seorang manusia yang tidak bersalah”.
“Saya dengan rendah diri memohon maaf kepada keluarga Altantuya Shaariibuu di atas apa yang telah terjadi di mana saya tiada pilihan pada waktu tersebut melainkan untuk mematuhi arahan yang diberikan kepada saya dalam menjalankan tugas,” katanya.
0 Comments