TIGA pemandu berdepan detik cemas apabila kenderaan mereka merempuh kerbau melintas
Dalam kejadian di Kilometer (KM) 422.3, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2), (Ajil- Kuala Terengganu) dekat Kuala Berang semalam, pemandu kereta jenis Perodua Myvi dan pemandu kereta jenis Toyota Corolla Altis mengalami kecederaan ringan.
Manakala seorang lagi pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superitendan Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta jenis Perodua Myvi yang dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor menghala ke Rantau Panjang, Kelantan gagal mengelak lembu tersebut yang berada diatas jalan.
"Lembu itu dikatakan melintas secara tiba-tiba dari lorong kanan ke lorong kiri menghala ke Kuala Terengganu.
"Kereta yang dipandu seorang wanita melanggar kerbau berkenaan sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke penghadang besi bahu jalan sebelah kiri sebelum sebuah kereta Toyota Altis melanggar bangkai kerbau tersebut sebelum terbalik.
"Pada masa sama, sebuah MPV dari lorong sebelah kanan menghala ke Kuala Terengganu gagal mengelak lalu melanggar bangkai kerbau di atas jalan di lorong kanan," katanya dalam satu kenyataan media.
Tambahnya, polis sudah menjalankan siasatan di lokasi kejadian serta merakam percakapan semua pemandu bagi siasatan lanjut mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959.
Bangkai kerbau dan kenderaan terbabit sudah dialihkan bagi kelancaran trafik.
0 Comments