Kereta terbakar, lelaki OKU tak sempat keluar


SEORANG lelaki orang kurang upaya (OKU) rentung selepas kenderaan dinaiki terbakar dalam kejadian di Amanjaya, dekat Sungai Petani.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang semalam itu, mangsa dikenali sebagai Thiru Navukarasu, 39, dilaporkan memandu kenderaan jenis Perodua Alza sebelum kenderaannya terbakar ketika melalui laluan Zon Seroja, Bandar Amanjaya menghala ke Sekolah Vokasional Sungai Petani.

Seorang ahli keluarga mangsa yang dipetik satu laporan media berkata, Thiru merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) yang mengalami lumpuh kedua belah kaki, kenderaan dipandunya telah diubah suai bagi memudahkan dia memandu kenderaan tersebut.

Keluarga percaya mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya, Pegawai Bomba Kanan 1 Mohamad Zaidi Md Lazim berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.12 petang berhubung kejadian itu.

Menurutnya, sepasukan bomba membabitkan tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira jam 3.24 petang.

"Kita dapati sebuah kenderaan Perodua Alza hampir keseluruhan terbakar dengan seorang mangsa rentung.

"Mangsa disyaki OKU kurang upaya fizikal berdasarkan maklumat awal diterima," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat  dalam satu laporan lain pula berkata, pihak polis menemu bekas berisi cecair petrol pada jarak kira-kira 15 meter dari kenderaan itu.


Bagaimanapun jelasnya pihak polis masih menyiasat punca sebenar kebakaran

Post a Comment

0 Comments