GV6 umum juara bersama, juri tampil beri penjelasan



PENTAS akhir musim keenam Gegar Vaganza (GV6) di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) malam tadi menyaksikan kejutan apabila Naqiu Boboy dan Hady Mirzadiumum sebagai juara bersama.

Juri tetap Datuk Ramli MS dalam sidang media selepas konsert itu menjelaskan kemenangan dua juara iatu Naqiu dan Hady Mirza diputuskan olehnya dan barisan juri.

Ditanya tentang alasan juri mengangkat kedua-dua penyanyi itu sebagai juara, jelas Ramli, keputusan dibuat selepas persembahan dan markah yang diperoleh kedua-duanya adalah sama.

"Saya decide pemenangan adalah dua, dipersetujui oleh Astro. Bukan (sebab) keluarga, bukan apa, memang dua (penyanyi) bagus takkan you cakap nyanyi satu lagu dan tambah satu minggu lagi? Jadi saya putuskan dengan juri ada dua pemenang," katanya.

Sementara itu, Ketua Strategi Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad, keputusan mengejut itu dibuat selepas menerima pandangan dan alasan daripada barisan juri.

"Saat itu kita ada perbincangan meja bulat, beberapa kali kita debat dengan juri.

"Kita terkejut dengan keputusan juri dan mereka dah berikan alasan, kita setuju dan berlaku adil kepada kedua-dua juara," jelasnya.

Susulan kemenangan itu, Naqiu dengan persembahan solo Srikandi Cintaku  dan Hady dalam persembahan solonya mempertaruhkan lagu Ku Bersuara membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, pakej percutian, ubah suai rumah dan ruang tamu berserta trofi.

Mereka turut mempersembahkan berganding dalam pusingan battle untuk lagu Ha Tepok.

Sementara itu, Jatt terpaksa akur apabila diumum pemenang tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM30,000 beserta trofi. Nurfatima pula merangkul tempat keempat dengan hadiah wang tunai RM20,000 beserta trofi.

Manakala tempat kelima dan keenam dimenangi oleh One Nation Emcees dan Sham Visa masing-masing membawa pulang wang tunai RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.

Pentas akhir GV6 diadili oleh juri tetap Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang serta juri jemputan, Datuk Rizalman.
 

Post a Comment

0 Comments