4 lelaki redah api selamatkan warga emas


EMPAT lelaki nekad  meredah asap tebal bagi menyelamatkan seorang warga emas Orang Kurang Upaya (OKU).

Dalam kejadian di Bunut susu dekat Pasir Mas petang semalam, warga emas berkenaan, Mohd Nor Rafa, 60, difahamkan menghidap penyakit angin ahmar tinggal berseorangan di rumah selepas anak, menantu dan cucu-cucunya keluar ke rumah besannya kira-kira 300 meter dari kawasan itu.

Seorang penduduk, Samsudin Hussain, 57, berkata, semasa kejadian dia bersama tiga rakannya sedang berada di kedai kopi berhampiran.

"Kami terdengar orang ramai menjerit rumah Mohd Nor terbakar dan ketika itu saya teringat yang dia tidak boleh bergerak.

"Kami terus berlari ke rumahnya dan melihat api sedang marak. Kami cuba masuk melalui pintu hadapan tetapi gagal kerana asap tebal," katanya kepada Sinar Harian.

Turut bersama Samsudin meredah kebakaran itu ialah Mohd Azmi Zakaria, 55, manakala dua lagi dikenali sebagai Rosdi dan Yie

Sementara itu menurut Samsudin lagi, seorang rakan mereka masuk melalui tingkat dan mengangkat Mohd Nor sebelum disambut rakan lain di luar rumah.

"Alhamdulillah kami semua selamat, bagaimanapun Mohd Nor dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk rawatan selepas kedua-dua pahanya melecur.

"Hari ini kami diberitahu Mohd Nor telah keluar hospital dan dibawa pulang oleh anaknya ke Tanah Merah," katanya dipetik laporan Sinar.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu Tumpat, Pegawai Bomba Azmi Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.57 petang.

Seramai 25 anggota dari Balai Wakaf Bharu, Pasir Mas dan Pasukan Bomba Bantuan dikejar ke lokasi kejadian.

Post a Comment

0 Comments