KERAJAAN Persekutuan yang dipimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak gagal dalam melaksanakan janji manifestonya berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seperti digembar-gemburkan.
Sebaliknya Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata, tiga daripada empat janji yang terkandung dalam Buku Harapan berkait PTPTN telah dilaksanakan.
“Dalam manifesto ada empat janji. Pertama, pelajar yang cemerlang diberikan pelupusan pinjaman sekiranya mereka datang daripada keluarga B40 dan M40, ini telah dilaksanakan.
"Kedua, sekatan imigresen dihapuskan, ini pun sudah dilaksanakan dalam masa sebulan dua ketika kita masuk pejabat.
“Janji ketiga ialah anak muda yang tidak mampu bayar (maka) majikannya (akan) diberi insentif untuk bantu bayar dan ini juga telah dilaksanakan bermula tahun ini. Majikan yang membantu bayar balik pinjaman pekerja mereka akan diberi pelepasan cukai,” katanya.
Wan Saiful sebelumnya hadir program bual bicara ‘Bicara Politikonomi’ yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Tambahnya, cuma satu janji yang belum dapat dilaksanakan iaitu penangguhan pembayaran balik pinjaman bagi peminjam yang mendapat gaji kurang daripada RM4,000 sebulan.
Sementara itu, Wan Saiful berkata, janji terakhir itu sedang diusahakan dan ia akan mengambil sedikit masa untuk ditunaikan.
0 Comments