PELUCUTAN kelayakan bekas Ahli Parlimen kawasan Batu sebagai calon pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu adalah tidak sah.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan itu siang tadi setelah prosiding permohonan deklarasi dikemuka Tian Chuan berhubung kelayakannya untuk bertanding dalam pilihan raya dijalankan.
Dalam keputusan serupa, Hakim Mariana Yahya turut menegaskan bahawa Naib presiden KEADILAN itu bebas dan layak bertanding dalam pilihan raya.
"Memandangkan mahkamah telah mengesahkan bahawa saya ada hak perlembagaan dan saya tidak boleh dinafikan sebagai warganegara di negara ini untuk bertanding dalam pilihan raya, dan juga untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat.
"Tapi yang paling penting, kita ingin menyampaikan mesej bahawa untuk masa depan, kita berharap institusi awam seperti harus mendukung semangat perlembagaan dan tidak menjadi alat kuasa politik untuk menafikan hak seseorang individu,” kata Tian Chua kepada wartawan selepas penghakiman dibuat.
Pada pilihan raya umum tahun lalu,Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melucutkan hak Tian Chua sebagai calon untuk kerusi parlimen Batu pada hari penamaan calon.
Susulan itu pada 26 April lalu, Tian Chua memfailkan saman pemula bagi memohon deklarasi bahawa beliau adalah seorang yang layak untuk bertanding dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil.
Berdasarkan afidavit sokongan, Tian Chua berkata dirinya layak bertanding mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan termasuk kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia juga membuat pengumuman bahawa kedudukannya sebagai ahli Parlimen terus kekal dan tidak mendapat sebarang bantahan berhubung perkara itu.
Tian Chua melalui afidavidnya mendakwa pegawai pilihan raya gagal mengambil kira semua fakta dan menyebabkan pencalonannya ditolak ketika Pilihan Raya Umum ke-14.
0 Comments