SKUAD B19 Malaysia mengesahkan tempat ke pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 selepas mengalahkan Thailand malam tadi.
Dalam perlawanan di Stadium Olimpik Nasional di Phnom Penh, Kemboja malam tadi, Malaysia menewaskan Thailand dengan keputusan 1-0.
Muhammad Umar Hakim Suhar Redzuan muncul wira negara malam tadi apabila berjaya menjaringkan gol pada minit ke-84. Sebagai rekod, Malaysia hanya memerlukan keputusan seri keatas Thailand untuk layak ke AFC 2020 yang bakal dilangsungkan di Uzbekistan pada Oktober tahun hadapan.
"Saya berasa amat hebat untuk melakukan jaringan...namun ia adalah usaha pasukan. Setiap pemain memberi usaha 100 peratus. Kami teruja untuk layak dan Malaysia adalah pasukan yang hebat," kata Muhammad Umar.
Malaysia memulakan kempen dengan mengalahkan tuan rumah Kemboja 5-4 pada 2 Nov lalu, membenam Brunei 11-0, Rabu lalu dan Kepulauan Mariana Utara 10-0, Jumaat lalu manakala Thailand menewaskan Brunei 9-0 dan membelasah Kepulauan Mariana Utara 21-0 sebelum kalah mengejut 2-1 kepada Kemboja.
Sementara itu, jurulatih, Brod Maloney berkata mereka tidak mengambil mudah mengharapkan keputusan seri malah mahu meneruskan rentak permainan seperti dirancang dan memburu kemenangan ke atas Thailand.
"Saya amt gembira untuk layak serta pemain telah membuktikan kemampuan masing-masing. Jika pemain meneruskan seperti ini, maka masa depan bola sepak negara nampak cerah," kata jurulatih dari Australia itu pada sidang media selepas perlawanan itu.
Dalam saingan kelayakan 48 pasukan itu, hanya 16 pasukan layak ke pada pusingan akhir iaitu tuan rumah, Uzbekistan, 11 juara kumpuan dan empat pasukan naib juara terbaik atau lima jika Uzbekistan muncul juara kumpulan.
0 Comments