PERKEMBANGAN teknologi hari ini mampu membantu perkembangan sektor pertanian dan penternakan berkembang lebih pesat, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu jelasnya. kerajaan perlu membangunkan industri tersebut selari dengan usaha memacu pertumbuhan ekomoni negara.
Ia jelasnya bukan sahaja bakal memperkasakan ekomoni negara melalui sektor tersebut, malah memperbaiki ekonomi golongan petani di negara ini yang terpinggir.
Namun tegas Anwar, bagi menjayakan usaha itu, pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) perlu lebih banyak turun ke lapangan bagi mendalami sendiri masalah dihadapi golongan itu.
Ia bagi memastikan apa yang mahu dilaksana kerajaan kemudiannya selari dengan permasalahan dihadapi mereka.
"Kita dalam kerajaan harus berikan penyelesaian, jangan buat leteran.
"Kita kena kemukakan alternatif, kalau dah beri peluang dan ruang, tapi masih tak berhasil, barulah kita menegur dan kritik," katanya.
Anwar sebelumnya berucap pada program Jalinan Mesra Peladang 2019 di Kuala Lumpur pada Ahad.
Turut hadir pada program itu Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) Abdul Hamid Bahari.
Sementara itu tambah Anwar, agensi seperti Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) pula wajar menjadi penghubung berkesan antara kerajaan dan golongan terbabit dalam usaha melonjak lagi sektor berkenaan.
0 Comments