RAYUAN bekas Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Ampang Adam Rosly Abdullah terhadap sabitan dan hukuman penjara enam bulan dan denda RM30,000 terhadapnya akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 November ini.
Pesuruhjaya Kehakiman Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan tarikh itu selepas peguam Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir mewakili Adam, sebagai perayu memaklumkan pihaknya baru menyerahkan hujahan tambahan kepada pihak pendakwaan dan memerlukan masa untuk menelitinya.
Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim bertindak bagi pihak pendakwaan.
Adam,31, merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 April 2018 yang menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendapati dia bersalah atas enam pertuduhan memberi pernyataan dan mengemukakan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ketika siasatan berhubung dakwaan kemewahan luar biasa yang dimilikinya.
Pernyataan palsu itu antaranya berhubung kerjayanya sebagai ahli perniagaan, pendapatan, kenderaan mewah, rumah banglo bernilai RM1.2 juta di Kampung Melayu Ampang yang dibeli secara tunai.
Bagi pertuduhan ketiga sehingga keenam, lelaki itu dituduh menggunakan suatu dokumen palsu dengan niat untuk memperdaya pegawai penyiasat SPRM mengikut Seksyen 89 akta yang sama.
Adam sebelum ini difahamkan pernah menjadi pegawai khas kepada Zuraida Kamaruddin yang kini adalah Menteri Perumahan dan kerajaan Tempatan
Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Ibu Pejabat SPRM, Blok D6, Parcel D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 9 pagi dan 12.15 tengah hari 10 Feb 2017, dan antara 9 pagi dan 2 petang, 22 Feb tahun sama.
Kesemua pertuduhan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
0 Comments