Rakyat bakal menikmati saluran baharu TV tahun depan


RAKYAT Malaysia dijangka bakal menikmati beberapa saluran baharu di Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai tahun hadapan.

Saluran baharu itu antaranya termasuk program berkaitan dokumentari

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, saluran itu dijangka membantu kementerian mengenal pasti skop yang ingin dibawa khususnya program dokumentari berkaitan teknologi yang berperanan membawa maklumat kepada rakyat di negara ini.

“Saya jamin mulai tahun depan kita akan umum beberapa saluran baharu di RTM.

“Kita (KKMM) sekarang lihat bagaimana program dokumentari yang ada tema tersendiri yang boleh diguna sebagai asas dalam membawa maklumat kepada rakyat. Ia penting dan sesuai untuk tambah mutu pengetahuan berkenaan isu tertentu,” katanya ketika sesi soal jawab pada Sidang Dewan Rakyat siang tadi.

Gobind berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (HARAPAN-Hulu Langat) yang ingin tahu adakah KKMM menjalankan kajian dan menyediakan insentif khas bagi menggalakkan penerbit dokumentari tempatan menghasilkan program ilmu berbanding program hiburan seumpama drama atau filem seram dan cinta.

“Kita (KKMM) mahu lihat bagaimana rakyat dapat memanfaatkan teknologi. Kemudian kita mahu lihat bagaimana mahu tonjolkan karya tempatan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments