PASUKAN penyelamat telah menjumpai mayat seorang lelaki yang terjatuh kedalam Sungai Tamparuli.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan, memaklumkan mangsa, Tai Kee Ting, 29, ditemui penduduk kampung yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat pada kira-kira jam jam 11.17 pagi semalam.
“Mayat mangsa ditemui terapung di tepi sungai kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
"Operasi yang disertai seramai 11 anggota dan pegawai itu ditamatkan pada jam 12.08 tengah hari,” menurut kenyataan JBPM Sabah.
Pada Isnin lalu, mangsa dilapor hilang selepas terjatuh ke dalam sungai tersebut ketika menyeberangi sungai menggunakan ‘flying fox’ untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan berhampiran Taman Duta Villa.
Bagaimanapun, struktur besi permainan berkenaan tumbang sehingga menyebabkan tali berserta mangsa terjatuh ke dalam sungai.
Sepasukan anggota dari balai bomba Tuaran dikerahkan dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa setelah menerima panggilan mengenai panggilan itu kira-kira jam 10.28 pagi.
Sementara itu menurut kenyataan itu lagi, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.