Kongres AMK minggu depan bakal dikawal ketat


KONGRES Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019 yang dijadual akan dilangsungkan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka, minggu depan akan dikawal ketat.

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata beliau sudah membuat permohonan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meningkatkan kawalan pada kongres berkenaan.

“Ia sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kekecohan mahupun berlaku provokasi.

“Saya juga akan membuat susulan dengan PDRM dalam masa terdekat bagi membuat permoonan rasmi bagi meningkatkan kawalan keselamatan pada kongres berkenaan,” katanya dalam sidang media.

Akmal tidak menyatakan sebab kawalan lebih ketat itu bakal diadakan, namun ia dipercayai dibuat susulan khabar angin ada pihak mahu memprovokasi kongres sayap pemuda itu.

Terdahulu, ada desas-desus yang mendakwa kumpulan tertentu mahu mencetuskan kekecohan.

Maklumat tidak sahih itu menyatakan ada usaha bakal dibuat bagi membuat usul tergempar undi tidak percaya terhadap Akmal pada hari kongres itu dijalankan.

Selain itu maklumat juga menyatakan, kumpulan tertentu akan meninggalkan dewan beramai-ramai ketika bekas Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merasmikan kongres tersebut dan menyertai kongres wanita yang juga dilangsungkan di Melaka.

Namun sejauh mana kebenaran khabar angin itu masih tidak diketahui.

Sementara itu, Akmal menyarankan ahli AMK untuk hadir ke kongres tersebut bagi mendengar amanat dan sebagai tanda penghargaan buat Dr Wan Azizah yang memimpin parti itu sejak 20 tahun lalu.

“Saya minta supaya semua ahli AMK hadir pada kongres yang akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga bekas Presiden PKR, tanpa rasa bimbang atau takut," tegasnya.

Post a Comment

0 Comments