KONVENSYEN parti KEADILAN peringkat negeri Sarawak yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini di Miri diteruskan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia berikutan setiap keputusan untuk mengadakan konvensyen negeri telah disusun dan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik.
"Semua negeri telah diberikan jadual (konvensyen) dan pelaksanaannya mengikut jadual.
"Sekiranya ada pandangan sebaliknya maka saluran yang betul adalah untuk mencadangkan perkara itu kepada MPP dan Biro Politik. Barulah satu keputusan itu (boleh) dibuat.
"Sehingga proses itu dilakukan kita akan meneruskan (konvensyen negeri Sarawak) pada 23 November ini," katanya seperti dilapor Bernama.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak, Baru Bian sebelum ini mengumumkan pembatalan konvensyen peringkat negeri. ADUN Selangau itu menggesa isu membabitkan Azmin yang tidak terpilih bagi merasmikan Kongres cabang pemuda parti itu diselesai terlebih dahulu.
Susulan pengumuman itu, Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo menggesa Pusat memberi lampu hijau untuk konvensyen itu diteruskan kerana persediaannya telah pun dilaksana.
Selain itu konvensyen tersebut juga jelasnya telah dijadualkan sekali untuk meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan parti dan sekali gus melancarkan jentera pilihan raya negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
"Konvensyen ini adalah untuk semua ahli dan pemimpin KEADILAN di Sarawak. (Presiden parti), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka tiba pada pagi 23 November. Jadi konvensyen ini diteruskan," katanya pada satu sidang media sebelum ini.
0 Comments