NAIB Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Syed Badli Shah Syed Osman menjelaskan insiden sebenar disebalik kontrovesi pembatalan surat jemputan kepada Mohamed Azmin Ali.
Menurut Syed Badli, Azmin sebenarnya tidak menjawab surat jemputan ke Kongres yang akan diadakan bulan hadapan.
"Pihak Azmin tidak membalas surat jemputan selepas lebih sebulan dihantar.
"Sepertimana kelaziman, AMK telah menghantar surat rasmi pada 11 September 2019 untuk menjemput Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali bagi merasmikan Kongres AMK.
"Namun sehingga ke tarikh mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan AMK pada 20 Oktober yang lalu, pihak sekretariat memaklumkan tidak menerima sebarang jawapan rasmi dari pihak timbalan presiden," katanya dalam kenyataan.
Selain tidak mendapat maklum balas dari pemimpin kontroversi itu, AMK turut memutuskan memberi laluan untuk mengiktiraf jasa bekas Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam kongres itu.
Malah beliau turut menyangkal tuduhan 'kem Azmin' yang mendakwa keputusan membatalkan jemputan kepada Azmin dipengaruhi 'tangan ghaib', sebaliknnya ia dipersetujui sebulat suara pada mesyuarat bulanan Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK Malaysia (MPAMK) yang dihadiri lebih 30 orang ahli Majlis Pimpinan AMK.
"Beliau dijemput atas kapasiti sebagai pengerusi majlis penasihat PKR merangkap timbalan perdana menteri.
"Kami yakin dan percaya keputusan ini dibuat setelah mesyuarat menimbang tara semua keadaan yang perlu.
"Ini juga merupakan satu pengiktirafan atas segala jasa bakti Dr Wan Azizah selama beliau memimpin Parti Keadilan Rakyat sejak 1998," katanya.
Keputusan memberi laluan kepada Dr Wan Azizah sebelum ini dilapor mendapat sokongan kesemua Ketua AMK negeri, pendirian itu ditegaskan dalam satu kenyataan media bersama.
Sementara itu tambah Syed Badli, AMK turut mengalu-alu kedatangan Azmin dalam kongres itu bagi menyatakan rasa terima kasih dan penghargaan kepada Dr Wan Azizah atas jasa memimpin parti itu sejak 1998.
Terdahulu, isu siapa akan merasmikan kongres menjadi pertikaian apabila penyokong "kem Azmin" mendakwa ada tangan ghaib cuba menyisihkan Ahli Parlimen Gombak itu.
Azmin, pemimpin kontrovesi yang dituduh melakukan persetubuhan sejenis sebelum ini pernah beberapa kali ditegur kerana enggan menghadiri mesyuarat pimpinan tertinggi parti itu.
0 Comments