Hari pertama ditayangkan, ejen Ali pecah panggung


SELEPAS sehari ditayangkan di 160 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei, filem animasi Ejen Ali The Movie telah berjaya mengutip RM1.8 juta.

Pencapaian itu sekaligus membuatkan filem terbitan Primeworks Studios dan Wau Animation itu mengungguli tempat pertama dalam carta filem pecah panggung tempatan.

Lebih membanggakan, ia kini diiktiraf filem animasi pertama menjadi terlaris pada hari pertama tayangannya di Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Ahmad Izham Omar, pihaknya tidak menyangka filem berkenaan mampu meraih sambutan luar biasa.

"Kami sangat terkejut dengan sambutan luar biasa ini dan menerima mesej daripada penonton yang teruja dan bangga dengan produk Malaysia yang mampu mengalahkan filem antarabangsa.

“Ini bukan sekadar kejayaan kami. Inilah kejayaan Malaysia! Terima kasih Malaysia!” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid Yassin berkata, walaupun banyak filem dari luar negara ditayangkan serentak dengan Ejen ali The Movie, ia masih mampu mendapat perhatian penonton.

"Ini membuktikan produksi dan filem kita telah mencapai tahap bukan sahaja dapat bersaing tetapi melangkaui prestasi filem antarabangsa.

"Banyak filem-filem hebat yang ditayangkan pada masa yang sama dengan filem kami, terutamanya filem dari luar," katanya.

Jalan cerita
Sebagai rekod, Ejen Ali The Movie arahan Usamah Zaid Yassin berkisahkan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun direkrut menjadi perisik bagi sebuah agensi perisikan, Meta Advance Tactical Agency (Mata) yang berperanan melindungi kota futuristik, Cyberaya, daripada ancaman luar.
Ajen Ali


Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu dia bukan satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa Iris - atau Infinity Retinal Intelligence System.

Ia diubahsuai menjadi Iris Neo dan boleh dikawal serta digunakan oleh ejen lain.

Inovasi baharu itu dipersoalkan oleh Ali apabila dia berasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa Mata tergugat.

Pada saat itu, dia didatangi individu misteri yang mendakwa mengetahui kisah silamnya. Ketika itu juga bermula pengembaraan baru Ejen Ali demi membongkar kebenaran walaupun kesetiaannya terhadap Mata bakal teruji.

Sehingga kini, Primeworks Studios mempunyai dua buah filem pecah panggung di Malaysia termasuklah Wira yang berada di tempat ketiga dalam carta filem Malaysia.

Post a Comment

0 Comments