MANA-MANA pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) yang mahu membentuk ‘kerajaan pintu belakang’ adalah pengkhianat yang perlu disingkirkan.
Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin membuat gesaan itu susulan desas-desas ada pihak tertentu mahu membentuk kerajaan perpaduan atau kerajaan pintu belakang termasuk di beberapa hari lalu.
Walaupun menganggapnya sebagai khabar angin, Shamsul berkata perkara itu masih perlu disiasat agar tidak terus menjadi polimik berpanjangan yang boleh mengganggu-gugat keharmonian pentadbiran kerajaan negeri Melaka.
“Kita akan terus menyokong kepemimpinan Ketua Menteri Melaka dan tidak akan membiarkan pengambilalihan kerajaan melalui pintu belakang.
“Perkara ini perlu disiasat dan pengkhianat perlu disingkirkan dari HARAPAN, tiada ruang untuk mana-mana pengkhianat dalam HARAPAN,” katanya pada satu sidang media.
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari sebelum ini menafikan ada usaha khianat menjatuhkan kerajaan negeri itu.
Bagaimanapun sebagai langkah pencegahan, 14 EXCO kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) HARAPAN di negeri itu melalui satu kenyataan menyatakan sokongan dan kepercayaan penuh kepada Adly untuk terus memimpin Melaka.
Sementara itu Shamsul ketika mengulas isu peralihan kuasa perdana menteri yang kerap dibangkitkan sebelum ini berkata, kepemimpinan HARAPAN terpaksa menjawab isu tersebut kerana ada pihak yang masih membangkitkannya dengan mencipta polemik.
“Kumpulan yang membangkitkan perkara itu jika tidak dijawab akan memberi mesej yang salah kepada parti sedangkan isu peralihan kuasa ini sudah banyak kali dijelaskan,” tegasnya.
Shamsul berkata begitu sebagai menjawab kenyataan Zuraida Kamaruddin yang mahu pemimpin parti dianggotainya agar 'move on' dari terus membangkitkan isu peralihan kuasa itu.
0 Comments