NASHARUDIN Mat Isa yang dihadapkan di Mahkamah pagi tadi dituduh dengan 33 pertuduhan.
Bekas timbalan presiden PAS itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam didakwa atas 30 pertuduhan pecah amanah membabitkan RM3.6 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM302,069.60.
Semua pertuduhan itu dibacakan di hadapan hakim Rozilah Salleh di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan semua tuduhan pecah amanah jenayah itu didakwa mengikut Kanun Keseksaan.
Pertuduhan pengubahan wang haram dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Pada 8 Mac lalu, Nasharudin hadir di kompleks SPRM Pahang dipercayai bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penerimaan dana oleh PAS daripada Umno.
Beberapa Pemimpin PAS sebelum ini didakwa menerima dana RM90 juta daripada Umno sebagai balasan untuk memberi sokongan kepada parti komponen BN itu dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dalam artikelnya pada 6 Ogos 2016 mendakwa ada pemimpin tertinggi PAS mungkin menerima dana RM90 juta untuk mendorong parti itu bekerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional.
Isu itu timbul semula selepas Presiden PAS, Abdul Hadi Awang membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle Brown berhubung artikel berkenaan pada 1 Feb lepas.
Sementara itu, Nasharudin didakwa melakukan kesalahan itu sejak 2015.
0 Comments