Gunung berapi Ulawun meletus lagi



GUNUNG berapi Ulawun di Papua New Guinea dilapor telah meletus pagi tadi.

Media antarabangsa melaporkan berlaku aktiviti seismik bermula pada tengah hari pada hari Isnin sebelum gunung berapi meletus kira-kira pukul 4:30 pagi

Menurut Penolong Pengarah, Rabaul Volcano Observatory, Ima Itikarai, menjelang subuh, asap kelabu mula kelihatan naik beberapa ratus meter memenuhi ruang udara.

"Letusan kelihatan dengan cahaya merah pijar naik kurang 100 meter dari dasar," katanya dipetik AFP.

Penduduk melihat letusan gunung berapi
Sementara itu seorang penduduk tempatan, Chris Lagisa dipetik berkata mereka boleh mendengar bunyi gas dan lava mengalir.

Letusan di gunung berapi itu bukan perkara baharu, pada Jun hampir 13,000 penduduk terpaksa berpindah setelah gunung di di gugusan pulau terpencil Bismarck itu memuntahkan laharnya.

Termasuk dalam senarai 'Decade Volcanoes', Gunung berapi Ulawun antara paling bahaya di dunia kerana berisiko meletus dengan kuat dan ganas.

Difahamkan masih ramai penduduk yang terkesan dengan letusan Jun lalu masih masih tinggal di pusat pemindahan.