PELUMBA Kinan Cycling Team, Marcos Garcia Fernandez dinobatkan juara keseluruhan Tour of Peninsular (ToP) 2019 edisi sulung yang melabuhkan tirai semalam.
Walaupun hanya menjuarai Peringkat 4 di Queen Stage (Sungai Koyan-Cameron Highlands), namun ia cukup buat pelumba Sepanyol itu mengumpul masa keseluruhan 16 jam 59 minit dan 07 saat seterusnya memenangi Jersi Kuning dalam acara tersebut.
Garcia turut dilihat mendominasi perlumbaan, selain diangkat juara, beliau turut merangkul gelaran Raja Bukit serta dianugerahkan Jersi Merah selepas memungut 37 mata dalam perlumbaan selama lima hari bermula Selasa lalu.
“Kami memiliki kelebihan tiga minit (3:02s) pada peringkat semalam (Peringkat 4) dan amat penting untuk mempertahankannya.
“Perlumbaan semalam agak gila namun kami mempunyai masa untuk mengumpulkan tenaga serta kekal tenang.
“Apabila situasi menjadi lebih baik maka kami boleh mengawal perlumbaan. Sudah tentu saya gembira memenangi gelaran ini,” kata Garcia
Sementara itu, pelumba Pro Touch, Rohan Du Plooy dari pasukan Vino Astana Motors memenangi Jersi Biru kategori pecut dengan himpunan 58 mata manakala Igor Chzhan (Vino Astana Motors) meraih Jersi Putih (pelumba terbaik Asia).
Kinan Cycling Team memenangi kategori pasukan terbaik selepas menghimpun 51:06:54s, manakala Terengganu INS TSG Cycling Team (TSG) di tempat kedua (51:09:34s) sementara Team Sapura Cycling (TSC) di tempat ketiga.
ToP dianjurkan Motoshoot Event Sdn Bhd yang disokong Kementerian Belia dan Sukan. Ia disertai 20 pasukan dengan dua daripadanya adalah pasukan kebangsan - Malaysia dan Azerbaijan, selebihnya pasukan benua.
0 Comments