Baling banjir kilat, penduduk kene pindah


SEBANYAK 17 keluarga di daerah Baling dipindahkan susulan mereka dinaiki air setinggi 1 meter malam tadi.

Ketua Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling Lt Mohd Faizul Abdul Aziz berkata, air mulai naik selepas hujan tanpa henti selama lebih tiga jam, mengakibatkan paras air sungai melimpah sehingga memasuki rumah penduduk.

"Pihak kami serta Pejabat Daerah dan lain-lain agensi, bersama Penyelaras Parlimen, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), memantau dan mengambil maklum berkaitan keselamatan penduduk yang terlibat banjir kali ini.

"Kami di pihak APM dan agensi kerajaan memastikan keselamatan orang awam terjamin dan tidak berlaku musibah melibatkan kehilangan nyawa," katanya.

Kira-kira 50 mangsa terdiri daripada penduduk dua buah kampung iaitu Kampung Batu 9, Mukim Siong dan Kampung Seri Ketengga terbabit dengan pemindahan itu.

Mohd Taufik meninjau tempat pemindahan
Sementara itu, Penyelaras Parlimen Baling, Mohd Taufik Yaacob memaklumkan kesemua mangsa  ditempatkan di dua pusat pemindahan banjir (PPB) iaitu di Surau Kampung Seri Ketengga dan Dewan Orang Ramai Kampung Keda Batu 8.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jelasnya telah mengambil tanggungjawab bagi memastikan kebajikan semua penduduk terbabit.

"Kami juga meninjau bersama agensi kerajaan untuk tengok keadaan tempat banjir. Ada rumah yang rosak dan sebagainya.

"Jadi, InsyaAllah kami akan panjangkan hal ini kepada Pejabat Daerah dan juga Pejabat Menteri Besar untuk kenal pasti apakah tindakan yang boleh diambil untuk membaiki kerosakan," kata Mohd Taufik.

Post a Comment

0 Comments