AR Badul sudah faham, tak perlu inkues.


"TIDAK Perlu inkues siasat punca kematian Mejar Mohd Zahir Armaya," demikian kata A.R Badul.

Pelakon dan pengarah veteran itu menarik balik desakan agar pihak berkuasa menjalankan inkues  bagi mencari punca kematian anaknya awal September lalu.

Memetik laporan BH, Badul atau nama penuhnya, Armaya Aman Ramlie, 70, berubah fikiran selepas memahami kronologi kejadian itu seperti yang dijelaskan oleh pengurusan kanan Tentera Darat Malaysia (TDM) pada Rabu.

“Sebagai ayah, sudah tentu saya sedih dengan kehilangan anak secara tiba-tiba.

"Emosi mengatasi pertimbangan, tambahan pula ketika itu tiada mana-mana pihak membuat susulan selepas kejadian menimpa Allahyarham, kecuali apa yang dipaparkan media.

“Namun, selepas bertemu pegawai tertinggi TDM dan diberi penerangan terperinci, saya batalkan niat mahu inkues dibuat," kata Badul.

Mohd Zahir yang juga pegawai komando, maut pada 4 September lalu ketika melakukan demonstrasi keupayaan sempena pelancaran penubuhan Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) di Kem Kok Lawi, Sabah.

Pada 26 September lalu, Badul dilaporkan mahu inkues dijalankan susulan rasa kurang berpuas hati dengan keputusan Lembaga Siasatan TDM bahawa kematian anaknya diklasifikasikan sebagai kemalangan dalam latihan.

Sementara itu tambah Badul, beliau kini hanya memikirkan kepentingan masa depan cucunya yang sudah kehilangan ayah.

Dalam perkembangan serupa, Balu Mohd Zahir, Nour Shafinar Harun ,31, sebelum ini dilapor berkata, beliau menyerahkan kepada keluarga Allahyarham suaminya jika mahu inkues.

Tambahnya, sebagai bekas anggota tentera yang berkhidmat dalam Kor Polis Tentera, Nour Shafina, 31, memahami prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan dalam memastikan keselamatan anggota tentera dalam setiap operasi.

Post a Comment

0 Comments