BEKAS drum kumpulan Search, Yazit Ahmad, 57 disahkan meninggal dunia pada jam 11.53 pagi tadi.
Adik angkat Allahyarham Yazit, Ashaari Mohd Nasir berkata, Yazit menghembuskan nafas di sisi ahli keluarga dan sahabat handai selepas mesin bantuan pernafasan ditanggalkan pada jam 11.46 pagi tadi oleh doktor pakar merawatnya.
Yazit dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 3.45 pagi kelmarin selepas mengadu sesak nafas di rumahnya di Taman Melati, Kuala Lumpur, Allahyarham selepas itu dilaporkan kritikal dan mengalami kerosakan otak.
Sementara itu tambah Ashaari, Jenazah Yazid akan dibawa ke Masjid Salehuddin Al Ayubi untuk solat jenazah setelah selesai proses membawa pulang dari HKL.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudathul Sakinah, Taman Selasih selepas solat Asar.
"Sejak semalam, ramai rakan artis termasuk ahli Kumpulan Search, Kid dan Din hadir untuk menziarahi Allahyarham.
"Pemergian Allahyarham sangat mengejutkan kerana beliau baru memaklumkan hendak membeli set drum elektronik semata-mata untuk menyertai kumpulan nasyid, As-salam Buskers Sabtu lalu," katanya dipetik Sinar.
Allahyarham Yazit meninggalkan isteri, Ramlah Ahmad, 59, dan tiga anak iaitu Razilah, 38, Shahmirnuri, 34, dan Shafiqa Nurlis, 29.
0 Comments