Maqis sita cili merah kaya bahan kimia


DEMI
mengejar keuntungan, ada sahaja pihak yang sanggup melanggar undang-undang ditetapkan pemerintah.

Baru-baru ini, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan sebuah kontena berisi cili segar yang diimport dari China.

Dipercayai, kontena itu tidak mempunyai sebarang dokumen import permit (IP) yang dikeluarkan oleh  Maqis.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam, jumlah rampasan cili segar ialah sebanyak 11,536 kg dengan anggaran nilai RM62,269.00.

Lebih membimbangkan, saringan Tahap Maksimum Residu (MRL) telah dijalankan dan keputusan Makmal mendapati bacaan MRL bagi cili tersebut adalah melebihi daripada kadar yang dibenarkan.

“Konsainan cili segar tesebut akan ditahan dan dilupuskan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.

“Maqis telah mengeluarkan kompaun kepada pengimport setelah mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya," kata kenyataan itu.

Pada Disember tahun lalu, Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat cili yang dijual di pasaran tempatan tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 berkaitan residu racun perosak.

Susulan itu Kementerian menjalankan pemantauan terhadap cili import di pintu masuk negara dan pasaran tempatan.

Manakala pada Julai lalu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin menegaskan bahawa kerajaan tidak lagi membenarkan pengimportan cili merah dari Vietnam dibenarkan sepanjang tahun ini.

Larangan itu juga susulan ujian dilakukan menunjukkan kandungan maximum residue limit (MRL) cili dari negara itu melebihi paras dibenarkan.

Sementara itu, Maqis dalam kenyataannya menegaskan bahawa pihaknya sentiasa akan memastikan keluaran pertanian yang diimport ke dalam Malaysia bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.

Post a Comment

0 Comments