Kes penipuan: Polis tahan pelakon lelaki



PIHAK berkuasa polis menahan seorang pelakon lelaki semalam bagi membantu siasatan kes penipuan.

Memetik laporan media, pelakon yang tidak dinamakan itu pernah membintangi filem Ratu Kalajengking: Puteri Keranda dan Abang Long Fadil 2.

Individu itu juga didakwa memegang watak seorang pegawai kanan polis dalam drama Gerak Khas.

"Pelakon itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung laporan polis dibuat seorang penerbit berstatus Datuk pada Jun lalu.

"Dalam laporan berkenaan, penerbit itu memaklumkan wang pelaburan lebih RM200,000 miliknya pada awal Mac lalu," kata sumber polis seperti disiar media.

Datuk A. Aida pernah mendakwa hilang wang pelaburan
Difahamkan penerbit yang membuat laporan tersebut ialah Datuk A. Aida, beliau pernah mendakwa hilang wang pelaburan itu menerusi dua transaksi di luar pengetahuannya pada Jun lalu.

Sementara itu sumber polis turut memberitahu, pelakon berusia 25 tahun itu ditahan semasa hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Ampang kira-kira pukul 12 tengah hari semalam

Turut dirampas ialah telefon bimbit lelaki itu sebagai bahan bukti siasatan.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab  mengesahkan tangkapan pelakon lelaki itu dan siasatan lanjut mengenai kes itu masih dijalankan.

Post a Comment

0 Comments