PIHAK pendakwaan berjanji untuk membuktikan bahawa bekas perdana menteri, Najib Razak dan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low cuba menutup jejak selepas skandal 1MDB terbongkar pada awal Julai 2015.
Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Kanan dalam kes itu.
Datuk Seri Gopal Sri Ram |
Selain itu,‘lakonan terperinci’ juga dakwanya dilakukan dalam beberapa fasa yang turut melibatkan beberapa watak bagi menutup jejak.
“Antaranya adalah surat-surat dan empat cek, setiap satu berjumlah US$25 juta yang ditulis oleh seseorang yang dikatakan penderma Arab. Tetapi cek-cek berkenaan bukan bermaksud untuk ditunaikan dan tidak pernah ditunaikan.
“Pihak pendakwaan juga akan mengemukakan bukti yang menunjukkan tertuduh cuba mengelakkan keadilan. Beliau juga mengganggu perjalanan siasatan kes ini yang dikenali sebagai Skandal 1MDB.
“Beliau juga mengambil langkah aktif untuk menutup perlakuan jenayahnya," katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah semalam.
Sri Ram juga berkata, pihak pendakwaan bakal mengemukakan semua bukti untuk menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai mens rea (niat untuk jenayah) yang menurutnya bermula dari pengambialihan Terengganu Investment Authority yang ditukar nama kepada 1MDB.
“Beliau menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan untuk melakukan tindakan tertentu dan mempengaruhi ahli lembaga pengarah 1MDB untuk melakukan transaksi tertentu yang tidak wajar dengan tergesa-gesa.
Tujuan utama tertuduh adalah untuk kepuasan diri. Beliau berjaya mencapai matlamat itu,” tambah Sri Ram.
0 Comments