Anwar dapat sokongan, Azmin tahu siapa dalang

 

DITENGAH pergeseran dalaman KEADILAN yang semakin memuncak, barisan kepimpinan parti itu tampil menyatakan sokongan penuh mereka terhadap Anwar Ibrahim.

Melalui satu resolusi yang dikeluarkan pada Ahad, 120 pemimpin tertinggi parti itu menyuarakan keyakinan terhadap Anwar untuk terus memacu dan memimpin parti tersebut.

“Kami dengan ini memberikan sokongan sepenuhnya kepada Presiden , Anwar Ibrahim, untuk memacu dan memimpin KEADILAN menjadi tunggak HARAPAN, selaras dengan semua peruntukan sebagaimana terkandung di dalam perlembagaan parti,” kata resolusi tersebut. 

Perkembangan itu dilihat bakal menambah tekanan terhadap Timbalan Presiden Parti itu, Mohamed Azmin Ali terutama selepas tercetus pertelingkahan kenyataan diantara dua tokoh pimpinan parti itu pada minggu lalu.

Azmin sebelum ini dikaitkan dengan sebuah video hubungan asmara sejenis didakwa membabitkan seorang individu, Haziq Abdullah Abdul Aziz. 

Haziq pada Jun lalu tampil dengan sebuah video pengakuan yang mendakwa rakaman itu tulen. Malah mendakwa individu yang bersamanya dalam video yang ditularkan itu merakam aksi mereka untuk koleksi peribadi. 

Bagaimanapun bekas Menteri Besar Selangor itu menafikan tuduhan tersebut.
Retetan penularan video tersebut berlaku tuduh menuduh di peringkat dalaman sehingga menimbulkan suasana tidak tenang dalam parti berkenaan

Syor letak jawatan

Kemuncaknya pada minggu lalu apabila Azmin membidas Anwar susulan kenyataan Ahli Parlimen Port Dickson itu agar Azmin melepaskan jawatan sekiranya video intim itu sah dirinya.

Mohamed Azmin yang kini merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, Anwar sepatutnya melihat cermin sewaktu menyatakan cadangan tersebut. 

 
Anwar bagaimanapun memilih untuk menjernihkan keadaan dengan mendakwa timbalannya itu, tidak membaca keseluruhan konteks yang dimaksudkannya berhubung kenyataannya.

“Saya rasa kenyataan (tentang letak jawatan) saya telah dimanipulasi. Bagaimanapun, saya tak rasa kecewa dengan kenyataan Mohamed Azmin… tapi saya fikir dia perlu baca berita penuh berkenaan kenyataan tersebut,” katanya dipetik.

Anwar turut menegaskan akan terus bekerjasama dengan timbalannya itu sebagai satu pasukan.

Dakwaan pemimpin Umno

Dalam perkembangan lain, Azmin mendakwa beliau tahu individu yang menjadi dalang dalam penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan dirinya itu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama individu berkenaan dengan alasan perkara itu masih dalam siasatan pihak polis.

“Saya tidak boleh dedahkan kerana ia masih dalam siasatan (polis), biarlah siasatan itu lengkap dahulu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis menolak politik fitnah terhadapnya di kediaman Menteri Besar Selangor Amirudin Shari Ahad lalu.

Sebelumnya pada Jumaat, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bado mengesahkan Mohamed Azmin tidak dapat dikaitkan sebagai pelaku dalam video lucah yang disebarkan tersebut.


Bagaimanapun Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Lokman Noor Adam menerusi siaran langsung yang dibuat di laman Facebook mendakwa pakar-pakar forensik yang menganalisis video itu merumuskan bahawa ia adalah sahih dan tiada elemen manipulasi atau disunting telah dikesan.

“Mereka menggunakan kaedah Error Level Analysis (ELA) menerusi frame, imej dan tampered detection. Kaedah itu jelas menonjolkan muka individu di dalam video dilihat jelas apabila dipadankan dengan gambar Mohamed Azmin dan Haziq,” katanya dipetik portal kosmo.

Cuma yang jadi persoalan, mengapa pemimpin Umno itu nampak sangat berminat dengan video tersebut?

Post a Comment

0 Comments