Ajal ke tempat kerja, suami isteri maut


LALUAN motosikal di Lebuhraya Persekutuan terbukti tidak selamat. Sejak dahulu, pengguna motosikal sering menyuarakan kebimbangan berhubung keadaan jalan yang mengundang bahaya.

Kebimbangan disuarakan itu akhirnya terjadi. Pasangan suami isteri maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan di Petaling Jaya pada pagi tadi.
Mereka dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal berkuasa tinggi Honda CBR 500R dinaiki pasangan suami itu tidak sempat mengelak dua motosikal bergesel di hadapannya.

Akibat kejadian itu mereka terbabas dan melanggar penghadang jalan. Kedua-dua mereka parah dan dilapor meninggal di tempat kejadian.

Muhammad Hamadi Zakaria dan isterinya, Nur Syuhadah Zaini, masing-masing berusia 31 tahun. Manakala mangsa yang parah dikenali sebagai Mohd Saad Ismail, 45, dan Sainuddin Sukur, 51.

“Mangsa gagal mengelak dua motosikal jenis Yamaha LC135 dan Suzuki Axelo yang bergesel di tengah laluan motosikal berkenaan.

“Dua penunggang motosikal yang parah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.


Sebelum ini, pelbagai rungutan dibangkitkan mengenai keadaan laluan tersebut.

Laluan yang sempit, kualiti turapan jalan yang tidak memuaskan, air yang bertakung, terowong gelap, serpihan pembinaan di atas jalan, penukaran arah tidak terancang masalah adalah antara yang sering menghantui penunggang motosikal yang saban hari menggunakannya.

Rakyat tertanya-tanya, apakah tindakan sususlan yang akan dilakukan Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menyelesaikan isu ini?

Post a Comment

0 Comments