KDN mula kajian pinda Akta Hasutan 1948 - Saifuddin Nasution

KEMENTERIAN DALAM NEGERI (KDN) sudah memulakan kajian bagi menilai keperluan untuk pindaan terhadap Akta Hasutan 1948.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu supaya akta berkenaan mampu menangani isu membabitkan pelanggaran daripada elemen agama, bangsa dan institusi diraja (3R) seiring dengan peredaran masa.

"Perkara itu sedang diperhalusi di peringkat kementerian dan akan dibentangkan ke Jemaah Menteri untuk persetujuan dalam masa terdekat," katanya melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
 
Saifuddin turut menjelaskan, pihaknya juga sedang melaksana libat urus  bersama pemegang taruh dan pihak berkepentingan bagi meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Mengulas mengenai pindaan berkaitan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Saifuddin menjelaskan ia sedang diperhalusi oleh Kementerian Komunikasi.

Ia sebagai langkah memperbaiki aspek keselamatan dan rangkaian susulan peningkatan penggunaan serta kebergantungan orang ramai terhadap perkhidmatan digital.

"Sebagai kementerian yang menerajui aspek keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam, KDN sentiasa komited dalam mengkaji dan menambahbaik semua undang-undang di bawah kawal selia kementerian.

"KDN akan terus menyokong reformasi negara berlandaskan nilai ihsan, kesejahteraan, keyakinan dan kemampanan demi memastikan hasrat Agenda Malaysia MADANI dicapai," katanya.




Post a Comment

0 Comments