MENTERI Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad akan mengetengahkan komitmen negara dalam mengintegrasikan Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal (KMGBF) ke dalam Pelan Tindakan dan Strategi Biodiversiti Kebangsaan (NBSAP).
Kementerian itu melalui satu kenyataan berkata, Nik Nazmi mengetuai 17 delegasi Malaysia ke Persidangan Parti-Parti ke-16 (COP16) dan Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) bermula 21 Okt hingga 1 Nov di Cali, Colombia.
Penglibatan itu bakal mengukuhkan kerjasama bagi konservasi biodiversiti khususnya dalam aspek pembangunan kapasiti, pemindahan teknologi dan pembiayaan.
“Malaysia menjadi antara negara parti yang terkehadapan dalam melaksanakan perkara ini dan pencapaian ini meningkatkan reputasi Malaysia di arena antarabanga, setakat ini 80 peratus daripada negara parti masih belum berbuat demikian,” menurut kenyataan itu.
CBD COP16 diadakan dua tahun sekali dan dihadiri 196 negara parti bagi memastikan pelaksanaan obligasi di bawah CBD serta menetapkan hala tuju dalam pengurusan biodiversiti untuk dilaksanakan oleh negara parti.
Malaysia telah meratifikasi dan menjadi parti kepada CBD pada 24 Jun 1994 bagi mengukuhkan komitmen dalam pemuliharaan dan penggunaan biodiversiti secara lestari serta memastikan perkongsian faedah yang terhasil daripadanya secara adil dan saksama.
NRES melalui kenyataan sama turut memaklumkan, semasa persidangan itu, Nik Nazmi dan delegasi akan menghadiri mesyuarat peringkat menteri, mesyuarat dua hala, lawatan kerja teknikal berkaitan konservasi biodiversiti selain acara sampingan.
0 Comments